Aku hanyalah seorang manusia…Yang terlahir suci bersih dari seorang Ibu yang mulia. Aku terlahir dalam tangisan, namun disambut senyuman….Mengapa?  Berkelana dalam hidup tanpa arah dan tujuan. Tak mengerti kebaikan ataupun dosa!

Hanya menjalani hidup seperti umumnya manusia. Bersusah payah mencari nafkah, untuk sekadar memenuhi kehendak hidup jasmaniah. Makan, tidur, bekerja, dan bermain demikian yang aku jalani.

Namun hari ini, aku telah ketemu Jalan Kesedaran untuk hidup yang lebih bermakna. Bahawa hidup ini bukan untuk makan, tapi makan untuk hidup agar berguna bagi kehidupan ini dan juga orang lain. Meletakkan diri ku di dalam taraf paling rendah supaya dapat berfikiran dari segenap sudut untuk proses defensif yang paling baik.

Bahawa hidup yang paling utama adalah harus menemukan aku yang sejati terlebih dahulu. Barulah kemudian dapat mengerti mengapa aku terlahir ke dunia ini. Kerana selama ini aku telah kehilangan dan melupakannya. Aku sesat di duniaku sendiri.

Bahawa nilai kehidupan itu bukan hanyalah untuk berumur panjang dan hidup sampai tua. Mengapa? Apa gunanya berumur panjang, namun hidup penuh kesia-siaan dan kepuraan? Nilai kehidupan bererti apabila aku dapat menanam kebaikan dan bermakna bagi kehidupan orang lain dan kehidupan aku sendiri.

Bahawa hidup di dunia ini adalah bagaikan bersekolah, tingkatan demi tingkatan harus dilalui. Belajar dan belajar. Kemudian juga harus mengikuti ujian. Semua terus berlanjut sampai akhirnya hari penentuan. Apakah aku lulus atau tidak? Tentunya semua bergantung pada nilai-nilai hidup yang aku dapatkan.

Bahawa kini…aku hanya manusia biasa yang terus mengikuti pelajaran dan mengejar nilai-nilai untuk pertimbangan dan melayakkan aku ke kelas berikutnya.

Bahawa kini dalam diriku masih begitu banyak kekurangan, harus terus memperbaiki diri, dengan terus memperbaiki diri dan merenungi demi kecermerlangan nurani yang telah dicemari oleh keduniawian hidupku.

Bahawa aku selalu berharap, para sahabat untuk mengerti dan terus memotivasi agar aku lebih percaya diri lagi dalam menatap hari-hari.

Kini...tiada apa yang lebih bermakna selain dapat bermuhasabah diri supaya dapat merenung seketika sejauh mana telah kita capai dalam kehidupan ini. Seimbangkan antara tanggungjawab sebagai hamba-NYA dan juga tanggungjawab di dunia.

Aku tidak merepek tetapi sedemikianlah gabungan hati dan fikiran aku setelah beberapa lama mendiamkan diri. Aku cuba mencari semula jalan kebenaran. Semakin hari semakin tenang, semakin hari semakin banyak perkara pelik yang mendatangi aku. Nikmat dari-NYA semakin terasa nyata.

Tapi aku rasa tidak cukup hanya merasa sedemikian. Kesempatan ini aku benar-benar menginsafi diri dan perlunya aku memohon keampunan dari semua yang mengenali diri ini sama ada aku pernah termakan dan terminum yang bukan hak aku, tersalah laku dan kata, mungkin juga tak sengaja berdusta, dan juga kepada yang pernah dilukai hatinya.

Bagi aku, dosa dengan tuhan mudah untuk aku mengadu dan bermohon secara terus tetapi dosa dengan manusia nampak seperti mudah tetapi sukar untuk dileraikan.